KUALA LUMPUR: Prestasi memberangsangkan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King di Masters Orleans, Perancis berakhir apabila kandas di peringkat separuh akhir, awal pagi tadi.
Perjalanan beregu nombor 18 dunia itu dihentikan pasangan dari China yang menghuni ranking nombor tiga dunia, Wang Chang-Liang Wei Keng.
Kekalahan pilihan kelapan itu di Palais des Sports turut menyaksikan cabaran negara di kejohanan berstatus Super 300 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu berakhir.
Selepas membuat kejutan dengan menyingkirkan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di suku akhir, Wang Chang-Wei Keng yang juga naib juara Olimpik 2024 Paris tampak terlalu sukar untuk dikalahkan.
Selepas tumbang pada set pertama 14-21, angka sama diperoleh pada set kedua dengan cabaran pemain negara dinoktahkan dalam hanya 26 minit.
Keputusan itu turut menyaksikan peluang Wan Arif Wan-Roy King untuk menyamai pencapaian terbaik mereka mara ke final Masters Sepanyol tahun lalu tidak kesampaian.
Pada tahun lalu, Malaysia berjaya merangkul kemenangan dalam acara beregu lelaki menerusi gandingan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri namun kecederaan menghalang pasangan itu berada di Perancis.
Pada tahun sebelumnya, negara turut berjaya meraih satu gelaran di Masters Orleans menerusi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam acara beregu campuran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.