GONG BADAK: Skuad Penyu ini berada di detik terpenting mereka pada musim ini apabila hanya memerlukan satu langkah sahaja lagi untuk berada di perlawanan akhir Piala FA.
Terengganu (TFC) yang mara ke pentas kemuncak tahun lalu menetapkan sasaran layak ke penentuan juara sekali lagi tahun ini namun berdepan Kuala Lumpur City di separuh akhir jam sembilan malam ini.
“Esok (hari ini) ialah perlawanan yang paling utama sekali kami sejak dari awal musim, kerana jika kami menang, kami akan berada di perlawanan akhir. Inilah sasaran yang ditetapkan,” jawab jurulatih Tomislav Steinbrückner semasa sidang media pra perlawanan.
Lawan yang ditempuhi ialah pasukan yang mencatat keputusan seri 0-0 semasa kunjungan Liga Super Mac lalu, sekaligus menceritakan cabaran serupa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam nanti.
Tuan rumah mengharapkan aura sokongan padu penyokong ‘Hitam Putih’ memenuhi gelanggang keramat mereka di Gong Badak dengan Steinbruckner masih lagi mencari gandingan terbaik membarisi kesebelasan utama.
“Suasana dalam bilik persalinan sekarang baik. Ada sedikit masalah kecederaan tetapi kami masih mempunyai ramai pemain bagus dan saya boleh memilih sesiapa sahaja yang bersedia,” tambah jurulatih berusia 56 tahun dari Croatia itu.