
JEDDAH: Red Bull berjaya meneruskan dominasi selepas sekali lagi meraih penamat satu dua pada pusingan kedua Grand Prix Arab Saudi.
Kali ini giliran Sergio Perez muncul juara sementara rakan sepasukan, Max Verstappen yang bermula di petak ke-15 menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba berpengalaman, Fernando Alonso dari pasukan Aston Martin.
Bagaimanapun Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengumumkan Alonso dikenakan penalti 10 saat kerana gagal menyempurnakan penalti lima saat dalam hentian pit.
Penalti itu diberikan selepas rakaman video menunjukkan seorang mekanik menyentuh bicu tayar belakang jentera Alonso sebelum penalti lima saat berlalu.

Selepas membuat semakan, pasukan Aston Martin kembali ceria kerana peraturan tidak menyatakan secara jelas bahawa mekanik tidak boleh menyentuh bicu tayar belakang.
Keputusan yang berjaya dicapai selepas itu kembali meletakkan Alonso selaku pelumba ketiga terbaik di GP Arab Saudi sekaligus meraih podium ke-100 dalam kariernya selaku pelumba F1.
Pelumba Mercedes, George Russell akur di tempat keempat manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton kelima.