KUALA LUMPUR: Hanya perasaan sedih menyelubungi kem Harimau Malaya selepas impian mereka untuk ke separuh akhir Piala AFF 2024 berkecai di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui situasi ini amat menyedihkan selepas perjalanan skuad negara pada kempen kali ini berakhir setakat di peringkat kumpulan.
“Saya rasa pasukan kami layak untuk mendapat lebih daripada ini tetapi kita tidak dapat melakukannya dalam usaha mendapatkan kemenangan.
“Tetapi saya tetap gembira dengan sokongan daripada penyokong yang menghormati perjuangan pemain yang berdepan dengan pelbagai situasi dalam mengharungi kempen kali ini.
“Jadi saya rasa ini perkara yang positif untuk bola sepak Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Hasrat Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala AFF 2024 tidak kesampaian selepas terikat tanpa jaringan menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keputusan seri sudah cukup untuk Singapura mengesahkan slot ke pusingan seterusnya, mengiringi Thailand selaku juara Kumpulan A selepas menewaskan Kemboja 3-2 sekali gus merakam empat kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan.
Malaysia boleh dianggap tidak bernasib baik selepas lebih banyak menguasai permainan ketika Singapura lebih banyak bertahan dan menyerap asakan bagi mengelak daripada dibolosi.
Tuah juga bagaikan tidak mahu berpihak kepada Malaysia apabila dua percubaan menerusi Paulo Josue (m61) dan Harith Haiqal Adam Afkar (m68) terkena palang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.