KUALA LUMPUR: Perselisihan yang berlaku di antara Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dijangka menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat.
Ia susulan pertemuan kedua-dua pihak yang ‘berbalah’ bakal diatur Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.
“PJS menyatakan kekesalan atas kenyataan susulan yang telah dikeluarkan berikutan isu salah faham antara PJS dan MOM, baru-baru ini.
“Justeru, satu perjumpaan akan diaturkan antara KBS dan MOM dalam jangka masa terdekat untuk menjelaskan konteks sebenar perkara ini.
“KBS yakin dengan sesi perjumpaan ini, semua pihak akan mendapat pencerahan dan salah faham ini dapat diselesaikan secara baik,” kata PJS dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada perkembangan, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, PJS seharusnya menjadi pemerhati yang bagus dan baik, seterusnya tidak terlalu cepat membuat andaian hingga mengundang pelbagai isu berbangkit.
Beliau berkata, masalah yang ditimbulkan PJS bukanlah kecil atau remeh, sekali gus memerlukan campur tangan KBS untuk menjernihkan keadaan.
Sebelum ini tular menerusi aplikasi whatsapp klip audio berdurasi satu minit 20 saat, memetik PJS, Suhardi Alias mengugut membatalkan pendaftaran MOM.
Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika Suhardi mengadakan pertemuan dengan dua badan e-sukan iaitu persatuan tadbir urus Sukan Elektornik Malaysia (MEGA), dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) pada 14 November lalu.
Norza menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar, memandangkan kenyataan berkenaan disifatkan melampaui batas.