BORDEAUX: Pasukan pilihan Perancis hanya mampu seri 0-0 dengan Kanada awal pagi tadi dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum Euro 2024.
Ketika bintang serangan, Kylian Mbappe mengalami kecederaan, jurulatih Perancis, Didier Deschamps melakukan eksperimen terhadap jentera serangannya.
Olivier Giroud memegang peranan klasik sebagai penyerang tengah dibantu di kiri dan kanan oleh Marcus Thuram dan Ousmane Dembele, jurulatih itu meletakkan Antoine Griezmann bagi peranan sokongan sahaja.
Namun Perancis bergelut dengan Kanada yang penuh bermotivasi selepas dibelasah Belanda 4-0 pada perlawanan sebelum ini.
Giroud tidak banyak mendapat peluang sebelum mensia-siakan percubaan pada minit ke-55 selepas menerima umpanan Griezmann sebelum terlepas satu lagi peluang beberapa minit kemudian.
Mbappe tampil dengan berbaki 20 minit sesudah terlepas latihan penuh selama dua hari berturut-turut.
Perancis menundukkan Luxembourg 3-0 pada aksi persahabatan Rabu lalu dengan Mbappe menyumbat gol sebelum mengalami kecederaan.
Namun awal pagi tadi Mbappe mempamerkan kecemerlangan dan hampir memastikan kemenangan, membuktikan dia amat diperlukan bagi aksi pembukaan Euro pada 17 Jun menentang Austria di Dusseldorf.
Pada kejohanan yang bermula di Jerman awal pagi Sabtu ini, Perancis berada dalam Kumpulan D bersama Belanda, Poland dan Austria. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.