Tumpuan :
Sukan

Perak singkir KDA FC, Terengganu bergaya ke suku akhir

Foto: Perak Football Club / Facebook

PETALING JAYA: Beraksi dengan 10 pemain tidak menghalang Perak FC untuk mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia biarpun tewas 1-2 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik, malam tadi.

Skuad The Bos Gaurus mara ke suku akhir dengan agregat 4-3 dan akan berdepan sama ada Sabah FC atau Kuching City FC.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu, skuad bimbingan Mohd Nafuzi Muhammad Zain membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Manuel Hidalgo selepas bola terkena tangan pemain tengah Perak Sunday Kolawole Afolabi.

Perak yang ketinggalan 0-1 dihukum beraksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian Mohamad Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah kerana mengasari Amirbek Juraboev pada minit ke-55.

Walaupun mempunyai kelebihan pemain, KDA FC terpaksa bergelut sebelum berjaya menghasilkan gol kedua menerusi Mohd Akmal Md Zahir pada minit ke-82, namun kegembiraan itu lebur apabila Seo Seonung menjaringkan gol tunggal Perak tiga minit kemudian.

Jaringan tersebut menghampakan kira-kira 9,000 penonton di Stadium Darul Aman yang mengharapkan sekurang-kurangnya perlawanan diheret ke penentuan penalti, namun sebaliknya Perak melangkah ke suku akhir dengan kelebihan satu gol.

Terengganu FC turut mara ke suku akhir dengan bergaya apabila merakam kemenangan agregat 7-0 selepas menewaskan pasukan Liga M3, KL Rovers 3-0 pada pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Pemain tengah skuad Penyu Mohd Nor Hakim Hassan mencuri tumpuan apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-32 dan 89 sementara Liridon Krasniqi turut mencetak nama sebagai penjaring apabila menggandakan kedudukan buat pasukan pada minit ke-72.

Terengganu FC akan membuat perhitungan sama ada berdepan Selangor FC atau PDRM FC di pentas suku akhir.

Terdahulu, juara 2021 Kuala Lumpur City FC (KL City) menjadi pasukan pertama melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-0, selepas menewaskan Penang FC 1-0.

Pada pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, penyerang tuan rumah Tchetche Kipre memastikan peminat skuad The City Boys tidak pulang hampa apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-70.

Menanti KL City di pentas suku akhir adalah pemenang antara Sri Pahang FC dan Harini FT yang akan membuat perhitungan malam esok dengan skuad Tok Gajah mempunyai kelebihan satu gol selepas menang 3-2 pada aksi pertama awal bulan ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini