comscore
Tumpuan :
Sukan

Perak, PDRM ungguli Kejohanan Hoki 5 Sebelah (5s) Kebangsaan

PDRM meraikan kejayaan menundukkan Kuala Lumpur 3-1untuk muncul juara kategori wanita Kejohanan Hoki 5 Sebelah Kebangsaan.-Foto ihsan MHC

KUALA LUMPUR: Perak muncul juara edisi ketiga Kejohanan Hoki 5 Sebelah (5s) Kebangsaan kategori lelaki selepas menundukkan juara bertahan Pahang 4-1 dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

Manakala bagi kategori wanita PDRM menampilkan kelas tersendiri mengalahkan Kuala Lumpur (KL) 3-1.

Perak yang julung kali mengambil bahagian mengejutkan Pahang seawal minit ketiga menerusi Mohamad Ashran Hamsani.

Skuad bimbingan  Muhammad Husaini Mohd Husin terus sukar dicabar Pahang apabila meledak tiga lagi gol menerusi Azmilmuizzuddin Misron (12’), Mohamad Ashran (13’) dan Muhammad Fahmi Khalid (14’).

Pahang menjaringkan gol sagu hati hasil percubaan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini ketika permainan berbaki lima minit.

“Kali pertama menyertai setelah tiga edisi tidak sangka dapat jadi juara.

“Apapun ini semua kerja keras pemain dan saya juga pesan kepada pemain bahawa Pahang adalah juara bertahan namun jangan terlalu memikirkan perkara itu,” kata Muhammad Husaini.

Selaku juara, Perak membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, pingat dan piala, manakala Pahang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan pingat.

Sementara itu perlawanan akhir wanita, gol awal turut menjedi faktor PDRM mengesahkan kejuaraan mengalahkan KL

Gol seawal minit ke-3 Nurul Najihah Mansur nyata menyemarakkan rakan-rakan sepasukan mendominasi permainan.

Hasilnya pada minit ke-11 PDRM mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua Wan Norfaiezah Md Saluti.

Meskipun KL  merapatkan kedudukan seminit kemudian menerusi Nur Zafirah Aziz. PDRM pantas menghalang kebangkitan lawan dengan gol ketiga Norazlin Sumantri pada minit ke-18.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini