comscore
Tumpuan :
Sukan

Perak-JDT kembali berentap 10 November depan

IPOH: Selepas dua kali ditunda, perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan pada 10 November depan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Tarikh baharu itu disahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan rasmi hari ini sambil memaklumkan sepak mula akan berlangsung pada jam 5 petang.

Perlawanan minggu sembilan Liga Super antara skuad Seladang dan Harimau Selatan itu sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober lalu, namun ditangguhkan komisioner perlawanan susulan keadaan padang di Stadium Perak tidak sesuai digunakan akibat hujan lebat sebelum sepak mula pada jam 8.15 malam.

Sabtu lalu, lebih 10,000 penyokong yang hadir ke stadium itu sekali lagi kecewa selepas perlawanan ditunda buat kali kedua akibat hujan dan permukaaan padang yang tidak mengizinkan.

Dalam pada itu, MFL memaklumkan penetapan tarikh baharu perlawanan itu juga menyebabkan tarikh pusingan 16 Piala Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 8 hingga 10 November dan 22 hingga 24 November ditukar ke tarikh lain.

“Jadual Pusingan 16 Piala Malaysia ini diubah kerana perlu menunggu aksi tertunda antara Perak FC menentang JDT ini yang akan berlangsung pada 10 November 2024 bagi melengkapkan kedudukan Liga Super selepas minggu 13 perlawanan bagi menjalankan undian Piala Malaysia.

“Justeru, tarikh baharu bagi perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia akan bermula pada 20 hingga 24 November, manakala perlawanan kedua Pusingan 16 pula berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember depan,” katanya.

Menurut MFL, dengan tarikh baharu yang ditetapkan itu, perlawanan minggu 16 Liga Super yang sepatutnya bermula pada 29 November akan dipinda ke Disember yang mana baki jadual penuh Liga Super 2024-2025 akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini