Tumpuan :
Sukan

Perak FC bangkit leburkan hatrik Wenzel-Halls

Perak FC menyekat hajat Penang FC meraih kemenangan pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya sebentar tadi. – Foto Penang FC



GEORGE TOWN: Perak FC mencetuskan sensasi apabila bangkit mengikat Penang FC 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini, sebentar tadi.

Terlebih dahulu, penyerang tuan rumah, Dylan Wenzel-Halls mencuri tumpuan apabila mencatat hatrik pada minit ke-13, 17, dan 33.

Gol pembukaan pemain import Australia itu hadir selepas bola lambung yang membias dari gawang lawan disambutnya dengan tenang untuk memperdayakan penjaga gol pelawat, Haziq Nadzli.

Empat minit berselang, penyerang berusia 27 tahun itu menggandakan jaringan hasil lorongan kemas dari Rodrigo Dias sebelum melengkapkan hatrik menerusi hantaran berkualiti pemain tengah, Syamer Kutty Abba.

Kapten Sang Seladang, Luciano Guaycochea, merapatkan jurang sekali gus memanfaatkan kelekaan pertahanan tuan rumah menerusi rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-21.

Bersambung babak kedua, Clayton Da Silva menyempurnakan sepakan penalti Perak pada minit ke-61 susulan Wan Zack Haikal terjatuh dalam kotak penalti dan badannya disahkan terkena tangan Syamer Kutty, hasil semakan video bantuan pengadil (VAR).

Kebangkitan Perak dilengkapkan Adilet Kanybekov yang meledak gol ketiga pada minit ke-67, selepas kekalutan di barisan pertahanan Penang yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Kedudukan 3-3 kekal dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana hujan renyai dan cuaca berangin dengan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata berharga selepas liga berehat kira-kira dua minggu sebelum ini.

Keputusan perlawanan itu menyaksikan Penang kekal menghuni tangga ke-11 dengan mengutip 15 mata manakala Perak terus berada di kedudukan kelapan dengan mengumpul 19 mata.

Skuad Harimau Kumbang dijadual menentang Selangor FC untuk aksi Piala Cabaran, Ahad depan dan Perak pula akan menentang Kelantan Darul Naim pada 26 Januari ini untuk aksi Liga Super.

Loading...
Terkini