KUALA LUMPUR: Perak FC berpesta gol di Stadium Majlis Perbandaran Manjung apabila membelasah pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Skuad Bos Gaurus hanya memerlukan lapan minit untuk berada di depan apabila kesilapan hantaran yang dilakukan pemain KDN membuka ruang buat Clayton Da Silva meledak gol pembukaan.
Luciano Guaycochea menggandakan kedudukan buat pasukan kendalian Yusri Che Lah menerusi sepakan percuma pada minit ke-14 sebelum Adilet Kanybekov menambah jaringan ketiga, 10 minit kemudian.
Kenduri gol Perak berterusan apabila Da Silva menyudahkan umpanan Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-56 dan pemain import dari Brazil itu terus membuktikan ketajamannya selepas melengkapkan hatrik pada minit ke-62.
Hanya tujuh minit selepas itu, pintu gol KDN bocor buat kali keenam selepas sepakan penjuru yang dilakukan Tommy Mawat Bada terkena pemain lawan sebelum menerjah jaring.
Amukan Perak berterusan hingga minit akhir dengan Da Silva meledak gol ketujuh pada masa kecederaan yang turut menjadi jaringan keempatnya dalam perlawanan itu.
Kemenangan itu membolehkan Perak naik tiga anak tangga untuk berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 22 mata selepas 18 perlawanan, manakala KDN terus bergelut di dasar liga apabila hanya menghimpun tujuh mata.