SHAH ALAM: Penyokong Selangor FC terus menyuarakan kekecewaan saat ini dengan empat bentuk hukuman yang dikenakan pengelola Liga Malaysia, MFL ke atas pasukan kesayangan mereka.
Sebahagian tindakan berkenaan dilihat wajar atas risiko yang diambil, apabila Selangor FC enggan beraksi pada Piala Sumbangsih 10 Mei lalu.
Namun selebihnya dianggap terlalu keras dan tidak berbaloi dengan situasi semasa.
Bagi Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor ASFC Mohd Faizal Wahid, jika hukuman yang dikenakan berbentuk denda ia memang sudah dijangkakan oleh penyokong-penyokong Selangor.
Tetapi yang menjadi menjadi persoalan adalah hukuman perlawanan tanpa kehadiran penyokong dan pemotongan tiga lagi mata.
Kebiasaannya hukuman sebegini adalah bersifat serta merta, dan tidak perlu menunggu perlawanan tertentu bagi pelaksanaannya.
“Sebenarnya perlawanan itu amat menarik dan ini yang dinanti-nantikan. Berbeza pada perlawanan sumbangsih kerana penarikan diri itu bukan senjaga tetapi sebab ada satu kejadian yang tragis sekali. Saya berharap MFL membuat satu perbincangan semula tanpa kehadiran penyokong bolasepak Malaysia takkan berseri, ” ujarnya.
Sementara itu berdasarkan reaksi balas penyokong di media sosial, jumlah denda dan pampasan yang dikenakan MFL seharusnya dalam kadar minima, kerana Selangor FC bertindak drastik enggan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim atas faktor keselamatan.
Ia berikutan serangan ke atas beberapa pemain bola sepak yang sedang berlaku, termasuklah insiden simbahan asid ke atas ayam tambatan Red Giants, Faisal Halim.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.