LONDON: Kekalahan kepada Crystal Palace di Anfield semalam, nyata sukar diterima penyokong Liverpool ketika kelab mereka bersaing memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Palace mencipta kejutan dengan Eberechi Eze menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-14.
Kekalahan itu menjejaskan persaingan Liverpool dalam memburu gelaran liga dan bahasa badan Jurgen Klopp selepas perlawanan jelas menggambarkan kekecewaan dengan aksi pasukan bimbingannya.
The Reds kini tewas dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri selepas ditewaskan Atalanta 3-0 di suku akhir pertama Liga Europa pada Jumaat lalu.
Kesemua penyerang Liverpool tumpul ketika menentang Eagles dan buntu memecahkan kekebalan pertahanan Palace dengan Salah paling teruk dikritik.
Kemarahan penyokong Liverpool sukar dibendung selepas bintang Mesir itu gagal tujuh daripada lapan persaingan satu lawan satu, hanya mencipta 79% hantaran tepat, gagal melengkapkan kawalan bola, 15 kali hilang penguasaan dan terlepas satu peluang keemasan.
Menurut seorang penyokong di media sosial: “Cukuplah Salah, dah tiba masanya untuk ke Arab Saudi,” manakala yang lain berkata: “Hantar Salah ke Arab Saudi dan jangan tanya pasal duit.”Penyokong lain di laman X juga melepaskan geram. “Letakkan Salah segera dalam kapal terbang ke Arab.
Bagaimana dia boleh kekal di atas padang hari ini.”“Sedih…masa untuk jual Salah. Jika ada tawaran besar, kita bodoh tak lepaskan dia,” menurut seorang lagi penyokong.
Kekalahan 0-1 di tangan Palace menyaksikan Liverpool kekal di tangga ketiga berkongsi 71 mata bersama Arsenal di tangga kedua dengan baki enam perlawanan.
Di tangga teratas ketika ini juara bertahan Manchester City mengumpul 73 mata.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.