KUALA LUMPUR: Seorang penyokong Malaysia mengalami kecederaan selepas menyaksikan perlawanan Piala AFF 2024 di antara Thailand menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Rajamangala, semalam.
Menerusi satu kenyataan dalam hantaran di Facebook Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), Madam Pang, pihaknya sudah menghantar penyokong itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Smitivet, Srinakharin.
“Kakitangan antarabangsa FAT sudahpun mengendalikan perkara ini dan menguruskan bil rawatan bagi memastikan individu terbabit tidak berdepan sebarang masalah apabila pulang nanti.
“Doktor juga sudah melakukan imbasan CT di bahagian kepala bagi mendapatkan keputusan terperinci dan meminta pesakit untuk dimasukkan ke wad pada malam ini (semalam) untuk berjumpa pakar ortopedik.
“Namun individu itu perlu pulang esok (hari ini) dan beliau akan mendapatkan rawatan di Malaysia,” kata kenyataan terbabit.
Terdahulu, media melaporkan penyokong Malaysia tersangkut dalam Stadium Rajamangala di Bangkok sebaik aksi ketiga Kumpulan A Piala AFF itu berakhir malam tadi.
Penyokong negara itu difahamkan terbabit dalam insiden pergaduhan kecil dengan penyokong Thailand.
Menurut salah seorang penyokong negara yang berada di sana ketika kejadian, penyokong tuan rumah melakukan provokasi kepada penyokong negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.