KUALA LUMPUR: Aksi antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh hari ini dicemari insiden pergaduhan penyokong di dalam venue berkenaan ketika perlawanan berlangsung.
Tidak dapat dipastikan mengenai punca pergaduhan itu tercetus, namun dalam video berdurasi 12 saat, kejadian itu terjadi pada minit ke-24 apabila sekumpulan penyokong dipercayai penyokong tuan rumah secara tiba-tiba melakukan serangan kepada penyokong Selangor yang hadir menyaksikan perlawanan itu.
Kehadiran bebeberapa orang anggota polis yang menjaga kawasan terbabit dilihat gagal mengelakkan berlaku pertembungan fizikal antara penyokong kedua-dua pasukan terbabit.
Pergaduhan tersebut bagaimananapun dapat disuraikan dengan kehadiran beberapa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang segera hadir ke lokasi tersebut.
Pasukan keselamatan itu dilihat menggunakan cota dan alat semburan pemedih mata bagi meredakan situasi tegang tersebut.