comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Penyejuk udara mudah alih bagi atlet negara di Paris

Suhu musim panas di Paris ketika temasya Olimpik  diramalkan lebih tinggi berbanding sekitar 25 hingga 42 darjah celcius yang pernah dicatatkan sebelum ini, – FOTO: Fail Reuters

KUALA LUMPUR: Suhu tinggi musim panas yang dijangka melebihi paras biasa di Paris pada saingan Olimpik yang bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini menyaksikan semua atlet negara yang beraksi akan dibekalkan dengan penyejuk udara mudah alih.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik 2024 Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mencari penyelesaian dengan membekalkan penyejuk udara.

“Kita memang dah tahu dari awal ketika lawatan CDM tahun lepas dan atlet pun telah dimaklumkan bahawa tiada penyaman udara di apartment penginapan tersebut.

“Jadi kita ada penyejuk udara, memang kita dah siap sedia untuk itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis mengumumkan Samsonite sebagai penaja bagasi rasmi kontinjen negara ke Olimpik Paris dengan nilai tajaan RM346,380.

Dalam usaha penganjuran lebih mesra alam, pihak penganjur sebelum ini mengumumkan 7,000 bilik di Perkampungan Sukan tidak akan dilengkapi dengan penyaman udara, tetapi akan menggunakan sistem penyejukan geoterma yang menjamin suhu dalam bangunan sekurang-kurangnya enam darjah celsius lebih rendah daripada suhu di luar.

Dengan suhu musim panas kali ini diramalkan lebih tinggi berbanding sekitar 25 hingga 42 darjah celcius yang pernah dicatatkan sebelum ini, beberapa pihak menyatakan kegusaran mengenai potensi risiko kesihatan, termasuk kekejangan, keletihan dan strok haba.

Menurut laporan media antarabangsa, penganjur baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah menerima tempahan sejumlah 2,500 unit penyejuk udara daripada beberapa negara, antaranya Britain, Jerman, Itali, Jepun, Kanada, Ireland, Greece dan Australia dengan kos tambahan itu ditanggung sendiri oleh kontinjen berkenaan.

Hamidin turut mengesahkan jumlah muktamad 26 atlet Malaysia ke Olimpik kali ini selepas penerjun negara Ooi Tze Liang tidak memperolehi slot tambahan daripada Akuatik Dunia menjelang tarikh tutup, semalam.

Mengenai sasaran pingat, beliau berkata mahu menunggu pengumuman daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengenai perkara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini