KUALA LUMPUR: Skuad negara terus menerima tamparan hebat apabila penjaga gol utama, Syihan Hazmi menjadi pemain terbaharu tidak akan bersama dalam dua perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan ini.
Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terpaksa digugurkan kerana didapati mengalami kecederaan selepas tidak melaporkan diri bersama rakan-rakan yang lain, malam tadi.
Perkembangan terkini itu sudah pasti memberi cabaran lebih besar buat pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dalam menyusun strategi serta taktikal terbaik untuk memperoleh dua kemenangan wajib bagi memastikan impian ke pusingan seterusnya tercapai.
“Pemain Buriram United, Dion Cools bersama lima pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Shahrul Saad, Feroz Baharudin dan Endrick dos Santos telah turun menjalani sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi.
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Syihan Hazmi tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini kerana mengalami kecederaan seperti yang dimaklum dan disahkan oleh doktor kelab berkenaan.
“Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol sedia ada iaitu Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman,” kata FAM dalam satu kenyataan malam tadi.
Selain itu, seorang lagi pemain dari Selangor FC, Nooa Laine akan menjadi individu terakhir bersama Harimau Malaya pada Isnin ini bagi melengkapkan 25 pemain sebelum terbang ke Bishkek, Republik Kyrgyz, Selasa ini.
Malaysia akan menentang Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun ini sebelum menutup saingan pusingan kedua bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 11 Jun ini.
Terdahulu, skuad kendalian Pan-gon agak tempang apabila kehilangan beberapa tonggak penting dalam pasukan seperti Faisal Halim yang mengalami kemalangan di simbah asid bulan lalu.
Sementara Arif Aiman, Darren Lok, Azam Azmi Murad dan Romel Morales termasuk Syafiq Ahmad juga tidak dapat bersama-sama skuad Harimau Malaya akibat kecederaan.
Ketika ini, skuad negara memerlukan enam mata maksimum daripada baki dua aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 itu bagi membolehkan hasrat untuk layak ke pusingan ketiga tercapai.
Malah, ia juga akan membolehkan pasukan mara secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi sekali gus layak buat kali kedua berturut-turut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.