PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memperkenalkan anugerah baharu iaitu Pengulas Sukan Popular pada majlis Anugerah SAM 2022 yang dijadualkan berlangsung 29 Ogos ini.
Menurut Presidennya Norismadi Abdul Manap, selain menghargai sebahagian besar ahli yang hadir dalam kalangan pengulas sukan, pihaknya pada masa sama mahu mendekatkan lagi peminat sukan tanah air apabila calon terbaik akan ditentukan menerusi undian bermula esok.
Sejak edisi pertama dianjurkan pada 1995, SAM membuat penambahbaikan pada majlis anugerah kali ini, menerusi penyertaan kategori baharu pengulas sukan popular.
Enam calon finalis telah dikenalpasti panel Jawatankuasa Anugerah SAM 2022 selepas mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan.
Jelas Norismadi, pihaknya menjangkakan sambutan meluas dengan menyasarkan lebih 20,000 undian dalam talian yang akan bermula esok.
“Kita dapat senarai dicadangkan dari agensi terbabit antaranya MFL dan stesen televisyen. Kita rasa ini inisiatif utk galakkan penglibatan ahli SAM dan peminat sukan rasai kemeriahan Anugerah SAM untuk undi pengulas pilihan mereka”, katanya.
Enam finalis berkenaan dipilih menerusi sukan popular, masing-masing 3 daripada bola sepak dan 3 lagi ialah E-Games.
Antara yang dijangka memberi saingan ialah Wan Khairil Azwa, Aiman “Laphel” Kamal dan Parthiban “Onthego” Petchayappen.
Sesi undian terbuka kepada orang ramai dengan tiada had undian bermula 22 sehingga 26 Ogos ini.
Sementara itu, persaingan Anugerah SAM 2022 turut tertumpu kepada perebutan gelaran Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik.
Finalis kali ini bukan calang-calang, menyaksikan saingan sengit apabila menghimpunkan barisan jaguh dunia menerusi pencapaian gemilang masing-masing tahun lalu.
Mengetuai senarai ialah Olahragawan Kebangsaan iaitu beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta juara dunia snuker amatur dunia — Lim Kok Leong.
Melengkapkan senarai adalah atlet bina badan, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, atlet angkat berat; Muhammad Aniq Kasdan dan Olahragawati Kebangsaan, Ng Joe Ee.
Pada masa sama, saingan bagi gelaran Atlet Para Terbaik 2022 turut mencuri tumpuan apabila membariskan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, juara dunia badminton Cheah Liek Hou, Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim.
Selain mengiktiraf atlet, turut dirai ialah wartawan sukan yang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.
Berikut adalah senarai anugerah pada majlis Anugerah SAM 2022:
Anugerah Kewartawanan:
Laporan Berita Terbaik (Media Cetak)
Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik)
Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak)
Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik)
Laporan Khas Terbaik (Terbuka)
Fotografi Sukan Terbaik
Anugerah Siebel
Anugerah Tambahan:
Pengulas Sukan Popular
Anugerah Tokoh Kepimpinan
Atlet Terbaik
Atlet Para Terbaik
Atlet Muda Terbaik
Persatuan Dinamik