
KUALA LUMPUR: Anugerah ‘Royal Order Monisarapon Mohaseng’ oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet kepada bekas wartawan sukan Malaysia, S.T Arasu dilihat satu pengiktirafan buat Malaysia dan rakyat dalam arena sukan di peringkat antarabangsa.
Bekas wartawan sukan sebuah akhbar tempatan itu berkhidmat sebagai perunding untuk Sukan SEA ke-32 dan Sukan Para ASEAN ke-12 yang masing-masing berlangsung pada Mei dan Jun lepas.
Majlis penganugerahan yang berlangsung Jumaat lepas, diadakan di Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, sempena sambutan khas bagi menandakan kejayaan Kemboja menganjurkan temasya berkenaan
“Kemboja menganjurkan temasya ini buat pertama kali dan kami perlu berdepan pelbagai cabaran.
“Kepimpinan yang teguh dalam NOCC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja) dan semangat kerjasama berpasukan oleh setiap individu yang terlibat dalam penganjuran temasya ini telah menghasilkan kejayaan. Ia satu pencapaian yang menggembirakan dan saya tidak boleh lupakan,” kata Arasu ketika berkongsi bersama BuletinTV3.

Tambah Arasu, pada mulanya dia menyangka akan mendapat sijil penghargaan, namun amat terkejut apabila tiba di lokasi beliau dimaklumkan akan dianugerahkan pingat.
Anugerah itu diberikan kepada individu yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang seni, pendidikan, literasi, kerja sosial atau sains.
Arasu ketika ini merupakan Presiden Persatuan Kabaddi Kuala Lumpur, Timbalan Presiden Persatuan Kabaddi Malaysia dan Setiausaha Agung Persekutuan Kabaddi Antarabangsa.