Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT KIARA: Persatuan Badminton Malaysia, BAM mengesahkan pemain beregu campuran, Chan Peng Soon meninggalkan badan induk sukan badminton negara buat kali kedua.
Keputusan dibuat Peng Soon selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan BAM dan ia diterima dengan hati terbuka kedua-dua pihak.
“Memang kita perlu pemain seperti Peng Soon yang mempunyai pengalaman, pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik, Peng Soon dapat berkongsi pengalamannya bersama pemain muda, selama ini, kita ucapkan terima kasih kepada Peng Soon, apa yang telah diberikan Peng Soon kepada kita, pemain-pemain muda kita di bahagian beregu campuran,” kata Rexy Mainaky, Ketua Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM.
Peng Soon sebelum ini meninggalkan BAM pada 1 Januari 2019, meneruskan karier sebagai pemain beregu campuran professional bersama pasangannya, Goh Liu Ying.
Dan mereka berjaya melayakkan diri untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020, penampilan kali ketiga selepas kejayaan meraih pingat perak pada temasya di Brazil pada 2016 disamping kemunculan sulung pada 2012.
6 Disember 2021, Peng Soon dan Liu Ying memutuskan untuk berpisah, dan ia membuka ruang buat BAM untuk menyerapkannya semula dalam perancangan persatuan.
Secara rasmi, 1 Januari 2022, Peng Soon kembali ke pangkuan BAM, menjadi mentor kepada pemain-pemain muda terutamanya dalam bahagian beregu campuran.
Hampir setahun menabur bakti, sekali lagi keputusan berat terpaksa dibuat Peng Soon, dia memilih untuk meninggalkan BAM buat kali kedua berkuatkuasa 30 November ini.
“Memang ada usaha kami untuk berbincang dengan Peng Soon untuk ubah fikiran dia, walaubagaimanapun, dia rasa adalah lebih elok dia keluar daripada BAM, dia rasa inilah masa yang paling sesuai dia keluar BAM.
“Pihak BAM juga nak mengambil kesempatan inilah untuk ucap terima kasih kepada Peng Soon atas sumbangannya selama setahun ini, walaupun dia agak kecewa dengan pencapaiannya, tetapi memang dia ada sumbangan di BAM, dia banyak membantu pemain-pemain muda semasa latihan, memang nak ambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada Peng Soon,” kata Datuk Kenny Goh, Setiausaha Agung BAM.
Selain Peng Soon, BAM turut memaklumkan keputusan sama dibuat pemain beregu campuran wanita, Cheah Yee See untuk meninggalkan badan induk badminton negara itu.
Dan ketika ini, BAM kekal untuk meneruskan program yang telah dirangka Rexy di bahagian beregu campuran.
“BAM memang berpuas hati dengan apa yang yang ditugaskan Rexy, memang kita berpuas hati, memang dia berkuasa penuh, dia tahu apa program dia tetapi memandangkan kita baru terima berita berkenaan Yee See, mintak beri masa kepada Rexy dan BAM untuk kita buat perancangan seterusnya, kalau risau pasal 2024, kami dalam BAM lagi risau.
“Memang kita perlu satu proses untuk cari jurulatih terbaik, buat masa ini kita masih yakin dengan program Rexy di beregu campuran, kita juga ada Kok Siang di sana dan setakat ini memang mereka menjalankan tugas dengan baiklah, tidak bermakna kita tidak perlukan jurulatih, kita perlu, tetapi kalau jurulatih yang baru tu masuk mungkin hujung tahun ini atau awal tahun depan,” tambah Datuk Kenny lagi.
Tambah Datuk Kenny, kelayakan Sukan Olimpik 2024 akan bermula Mei tahun depan dan ruang masih ada buat BAM mengenalpasti gandingan campuran baharu untuk di ketengahkan seperti yang dilakukan dalam bahagian beregu lelaki menerusi gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan Pearly Tan dan M. Thinaah di bahagian beregu wanita.