![](https://media.buletintv3.my/2023/07/yfN6FGMu-sabah.jpg)
GEORGE TOWN: Sabah mengukuhkan reputasi selaku pasukan lima teratas Liga Super apabila menundukkan tuan rumah Penang 2-1 di Stadium Bandaraya di sini sebentar tadi.
Sembilan minit permainan berlangsung, Sabah sudah di depan menerusi jaringan pemain tengahnya, Mohd Irfan Fazail.
Kedudukan Sabah mula selesa apabila penyerang import terbaharunya, Ramond Machado meledakkan gol kedua perlawanan pada masa kecederaan babak pertama.
Kemasukan pemain gantian, Alif Ikmalrizal Anuar pada pertengahan separuh masa kedua meningkatkan bahagian serangan Penang.
Sudahnya Penang berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Alif Ikmalrizal pada minit ke-76.
Kedudukan kekal apabila tiada lagi gol dijaringkan kedua-dua pasukan.
Menang 2-1, Sabah kekal di tangga kelima dengan 36 mata daripada 19 perlawanan (11 menang, 3 seri, 5 kalah).
Penang kekal di tangga kesepuluh dengan 19 mata daripada 18 perlawanan (5 menang, 4 seri, 9 kalah).