Tumpuan :
Sukan

Penalti Vitor ranapkan impian Selangor

 

GEORGETOWN: Jaringan penalti kapten pasukan, Rafael Vitor pada masa kecederaan membantu Penang FC mengikat Selangor FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri, menghadiahkan sepakan penalti itu selepas kapten Selangor, Safuwan Baharuddin, dikesan melakukan kekasaran terhadap Alif Ikmalrizal pada minit ke-100.

Terdahulu, Selangor mendahului menerusi jaringan cantik penyerang sensasi, Ronnie Fernandez yang tenang melakukan separuh voli selepas menerima hantaran lintang Quentin Cheng dari luar kotak penalti pada minit ke-10.

Penang hampir menyamakan kedudukan awal menerusi sepakan sudut Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-12, namun rembatan derasnya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz.

Di babak kedua, pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi melakukan pertukaran taktikal dengan menggantikan pertahanan, Shahrul Nazeem, dan pemain tengah, Mukhairi Ajmal, dengan Harith Haiqal dan Alexender Agyarkwa.

Pada minit ke-54, pertahanan Penang, Adib Ra’op, cuba mencipta peluang dengan lorongan ke arah pintu gawang Selangor, namun bola berjaya dipintas pemain gantian, Harith Haiqal.

Hujan lebat pada 15 minit terakhir perlawanan merencatkan rentak kedua-dua pasukan.

Keputusan itu menyaksikan hasrat Selangor membawa pulang tiga mata tidak kesampaian dengan kedua-dua pasukan itu akan bertemu sekali lagi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran, 2 Februari depan.

Loading...
Terkini