KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menumpaskan kelab Indonesia, PSM Makassar FC 1-0 dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.
Kapten, Safawi Rasid muncul wira pasukannya selepas jaringannya memastikan TFC meraih tiga mata berharga sebelum bertandang ke tempat lawan menentang kelab Thailand, BG Pathun pada 5 Februari ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu mendaki dua anak tangga di kedudukan kedua Kumpulan A dengan berkongsi tujuh mata dengan PSM Makassar.
Kemenangan ini juga mencerahkan peluang skuad itu untuk mara ke separuh akhir, namun wajib menang berdepan pendahulu, BG Pathun yang berkelebihan satu mata.
Pada perlawanan itu, pintu gol tuan rumah terlebih dahulu diuji pada minit ke-22 selepas pertahanan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni tertampan bola hasil hantaran lintang Victor Prestes yang hanya sedikit melepasi tiang gol TFC.
Dua minit berselang, giliran TFC mendapat peluang menerusi rembatan jarak jauh pemain import, Ismaheel Akinade yang mudah ditangkap penjaga gol pelawat, Muhammad Reza Arya Pratama.
Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil selepas pengadil dari Uzbekistan, Nadjafaliev Asker menghadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena tangan pemain gantian, Ananda Raehan Alief.
Tendangan yang diambil Safawi pada minit ke-64 menerjah jaring sebelah kanan pintu gol sekali gus membolehkan TFC menewaskan skuad kendalian Fernando Tavares.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.