Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BUKIT JALIL: Ketiadaan pemain sensasi tuan rumah Lee Zii Jia di Terbuka Malaysia kali ini tetap dirasai pengikut setia badminton.
Penyokong negara khususnya memang memasang impian hadir ke Axiata Arena untuk melihat sendiri penampilan jaguh berusia 27 tahun itu di depan mata, namun akur dengan keputusannya tidak bertanding akibat kecederaan.
“Sebenarnya kecewa sedikit, tapi sebab kita orang Malaysia, jadi tetap nak sokong pemain negara kita beraksi dan masih hadir ke sinilah.” luah Rafizah Abd Latif yang datang bersama anak dan suami dari Kajang.
“Agak menghampakan tidak dapat melihat Lee Zii Jia disini kerana dia seorang pemain yang berkemahiran tinggi. Saya berharap dia dapat kembali ke pertandingan-pertandingan yang lain.” kata Desmond dari Kuala Lumpur.
Penarikan diri Zii Jia diakui sedikit sebanyak mengurangkan kemeriahan penganjuran edisi ke-68 itu, memandangkan memiliki pengaruh besar serta kelompok peminat yang ramai.
Selepas kekalahan Leong Jun Hao selaku wakil tunggal di pusingan pertama semalam, ia turut menyebabkan kemarau gelaran pemain tuan rumah dalam acara berkenaan terus berpanjangan sejak kemenangan Datuk Lee Chong Wei pada 2018.
“Kita pun tak sangka dia cedera teruk di Akhir Jelajah Dunia BWF sekaligus merugikan sebab semestinya nak lihat pemain terbaik di sini serta peluang menjadi juara. Jadi kena tunggu tahun depan semula untuk pemain perseorangan lelaki kembali bangkit.” jelas bekas pemain negara Ong Ewe Hock yang muncul juara pada 1996 dan 2001.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.