comscore
Tumpuan :
Sukan

Pembinaan Litar Motosikal, Kereta Di Kuching Masih Di Peringkat Perancangan

Datuk Gerald Rentap Jabu. – FOTO: Gerald Rentap Jabu DUN N36 Layar/ Facebook

KUCHING: Cadangan pembinaan sebuah litar khusus bagi perlumbaan motosikal dan kereta di bandar raya ini masih dalam peringkat perancangan selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata lokasi bagi pembinaan litar berkenaan juga masih belum dimuktamadkan.

“Belum lagi (dimuktamadkan lokasi) tetapi kita rancang litar lumba terbabit mungkin dibina di kawasan Petra Jaya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Sarawak 2022, di sini hari ini.

Sementara itu, Rentap meminta belia Sarawak yang berminat menyertai aktiviti perlumbaan motosikal atau kereta untuk menyertai kelab atau persatuan perlumbaan tempatan.

“Ini supaya kita dapat kawal selia mereka. Jika tidak berdaftar, kami tidak dapat jamin (keselamatan mereka),” katanya.

Menurutnya isu perlumbaan haram dalam kalangan belia pada masa kini turut menjadi antara perkara dibangkitkan dalam mesyuarat MPBN peringkat Sarawak. – BERNAMA

Loading...
Terkini