Tumpuan :
Sukan

Pembaikan sistem lampu limpah Stadium Perak dijangka siap malam ini

IPOH:​​​​​​​ Kerja-kerja pembaikan semula sistem lampu limpah Stadium Perak yang dicuri minggu lalu sedang giat dijalankan.

Proses dijangka siap sepenuhnya malam ini, demi membolehkan gelanggang berkenaan digunakan tuan rumah, Perak FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) dalam aksi pertama Liga Super tiga hari lagi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memberi jaminan stadium tersebut sempat untuk digunakan Perak FC.

“Stadium Perak, kita tahu kerja jenayah, kita biar polis selesai. Kita janji dengan XOX pihak sebelum 25 haribulan kita siap, untuk makluman kita dah lantik tiga syarikat untuk buat kerja serentak. Jadi saya rasa tidak ada masalah, 25 haribulan boleh dimainkan waktu malam,” jelas Datuk Rumaizi kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah ahli majlis Majlis Bandaraya Ipoh, (MBI).

Tinjauan TV3, mendapati kerja baik pulih dan penyelenggaraan ke atas keempat-empat lampu limpah sedang giat dilakukan pekerja syarikat sejak Jumaat lalu.

Tumpuan diberikan kepada bilik kawalan lampu limpah tiga yang menjadi tempat berlakunya kecurian komponen berkenaan.

Pihak stadium dijangka melakukan percubaan terhadap sistem lampu limpah esok bagi memastikan ianya dapat digunakan Sabtu ini.

Malang menimpa gelanggang berkenaan susulan kes kecurian kabel lampu limpah yang disedari minggu lalu menuju pembukaan musim baharu Liga Malaysia.

Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan di kalangan penyokong The Bos Gaurus dan pasukan memandangkan dijadual menjadi tuan rumah perlawanan pertama Liga Super menentang KDA.

Loading...
Terkini