Tumpuan :
Sukan

Pemain sambut baik pelantikan Jonassen

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen (kiri) berbual Eogene Ewe Eon (tengah) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Barisan pemain perseorangan lelaki dan wanita negara menyambut baik pelantikan ketua jurulatih baharu, Kenneth Jonassen sambil berharap kehadiran bekas jurulatih Denmark itu dapat memberikan ‘kesegaran’ buat mereka di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Jonassen yang terkenal sebagai individu ‘menghasilkan’ pemain bertaraf dunia seperti Viktor Axelsen menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan kontrak selama empat tahun dan akan memulakan tugasnya pada 4 Januari depan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Jurulatih yang dikenali dengan gaya permainan agresif dan pendekatan taktikal semasa kariernya sebagai pemain itu sempat menemui beberapa pemain di ABM sebelum pulang ke tanah airnya, hari ini.

Antara yang sempat ditemui adalah pemain perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe yang mengakui kagum dengan kejayaan Jonassen membimbing salah seorang idolanya, Axelsen.

“Saya memang amat gembira apabila mengetahui yang kita memperoleh jurulatih daripada Eropah kerana bagi saya budaya kerja mereka berbeza jadi gabungan antara gaya Asia dan Eropah itu memberikan perubahan yang positif.

“Saya sempat untuk bertanya kepada beliau mengenai corak latihan mereka di Eropah terutama dari sudut disiplin dan beliau juga mahu saya terus meningkat.

“Saya mengenalinya sebagai jurulatih tetapi tidak sebagai pemain namun salah seorang anak didiknya Axelsen adalah salah seorang idola saya. Jadi saya berharap untuk dapat belajar banyak dan akan bekerja keras untuk mencapainya,” kata Eogene.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Siti Zulaikha Muhammad Azmi yang masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran pertamanya di peringkat senior dengan menjuarai Siri Antarabangsa Malaysia di Johor, minggu lalu mengakui teruja melihat kelibat Jonassen di ABM.

“Saya berharap untuk belajar banyak perkara daripada beliau selepas ini. Dengan berpengalaman dan kepakaran yang beliau miliki, saya berharap beliau boleh membantu saya memperbaiki permainan saya,” katanya.

Di bawah bimbingan Jonassen, Axelsen berjaya memenangi pingat emas Olimpik pertamanya di Tokyo pada 2021 selain membantu pemain itu memenangi gelaran dunia pada 2017 di Glasgow, Scotland.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini