| Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin
PETALING JAYA: Takziah diucapkan kepada keluarga P. Rajes dan kelab PJ City diatas pemergian pemain itu awal pagi ini.
Berita mengejutkan itu diumum oleh pasukan PJ City di laman sosialnya yang menyatakan ia hari sedih barisan ‘The Phoenix’ apabila kehilangan seorang tonggak hebat selain menjadi mentor kepada pemain muda.
“Kami menyampaikan takziah kepada keluarga Rajes Perumal yang meninggal dunia away pagi ini… Anda akan dirindui, bersemadilah dengan tenang dan semoga berjumpa lagi,” memetik kenyataan pasukan PJ City.
Rakan sepasukannya yang berpangkalan di Lembah Klang itu S. Subramaniam juga berkongsi dengan lebih mendalam berita kehilangan mendiang.
“Sahabat saya Rajes Perumal, pemain bola sepak Liga Super PJ City FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves. Mohon jangan sebarkan gambar-gambar kemalangan beliau di media sosial dan WhatsApp demi menjaga sensitiviti keluarga dan rakan-rakan,” tulis Subramaniam di laman sosial Instagramnya.
Rajes turun sebagai pemain gantian ketika menghadapi Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super terakhir musim ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya Sabtu lalu menyaksikan PC City merakam kemenangan ke-6 menerusi keputusan 1-0.
Beraksi di posisi pertahanan kanan, mendiang pernah menyarung jersi Selangor PKNS FC dari 2011 hingga 2013, disusuli Selangor pada 2014, Kedah pada 2015 sebelum kembali semula ke PKNS pada 2016 dan 2017.
Pemain yang lahir pada 21 Jun 1985 itu menyertai PJ City pada 2018.