JAKARTA: Pemain badminton perseorangan lelaki China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, semalam.
Insiden malang itu berlaku ketika perlawanan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.
Zhi Jie yang berusia 17 tahun yang sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap semasa perlawanan lewat semalam.
Ketika itu kedudukan terikat 11-11.
Pasukan perubatan kejohanan kemudiannya memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain remaja itu dikejarkan ke hospital.
Badminton Asia dan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dalam satu kenyataan bersama, berkata Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan.
“Pemain perseorangan China, Zhang Zhi Jie pengsan di dalam gelanggang ketika perlawanan petang semalam sebelum dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan.
“Zhi Jie sedang bermain perlawanan peringkat kumpulan menentang Jepun ketika dia pengsan.
“Dia kemudiannya dirawat oleh doktor kejohanan dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke hospital dalam tempoh kurang dua minit dengan ambulans yang disediakan,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Badminton Asia, PBSI dan jawatankuasa penganjur kejohanan mengucapkan takziah kepada ibu bapa Zhi Jie, keluarga dan Persatuan Badminton China (CBA).
“Dunia badminton kehilangan seorang pemain yang berbakat,” katanya.
Kejohanan Badminton Remaja Asia berlangsung di GOR Among Raga, Yogyakarta dari 28 Jun hingga 2 Julai bagi acara berpasukan campuran.
Kejohanan itu akan diteruskan bagi acara individu yang dijadual bermula dari 3 hingga 7 Julai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa