KUALA LUMPUR: Langkah pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terhenti di pusingan kedua Terbuka India, hari ini.
Pemain ranking ke-28 dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan wakil China yang berada di ranking ke-21 dunia, Weng Hong Yang 18-21, 12-21 pada aksi di Kompleks Sukan Indira Ghandi, New Delhi.
Harapan tinggi diletakkan di atas bahu Jun Hao selepas dia mencipta kejutan menewaskan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng pada pusingan pertama, kelmarin.
Bagaimanapun, semuanya tidak menjadi buat Jun Hao dalam pertemuan dengan Hong Yang yang menyaksikan lawan mendominasi permainan untuk menamatkan aksi dalam tempoh 44 minit.
Jun Hao mengakui dia kurang selesa dengan corak permainan Hong Yang yang merupakan pemain kidal.
“Saya rasa hari ini saya tidak begitu selesa dengan corak permainannya. Mungkin serangan di bahagian hadapan sedikit menyukarkan saya dan menjejaskan momentum permainan.
“Sebagai pemain kidal, sudut pukulan Hong Yang juga berbeza dan ia memberi kesan kepada permainan saya,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Jun Hao bagaimanapun berpeluang menebus kekalahan itu apabila dia dijadual bertemu Hong Yang sekali lagi pada pusingan pertama Masters Indonesia di Jakarta, Selasa ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.