LONDON: Faiq Bolkiah, pemain bola sepak terkaya dunia dimasukkan ke hospital selepas cedera ketika perlawanan Liga Thai kelmarin.
Faiq 25, anak saudara kepada Sultan Brunei yang mewarisi kekayaan bernilai £15.85 bilion (RM95.64 bilion) beraksi pada separuh masa pertama untuk Ratchaburi ketika menentang Police Tero.
Namun selepas beberapa minit beraksi, dia berlaga dengan pertahanan lawan dan kaki kanannya tersadung sehingga terpaksa diusung keluar.
Kecederaan serius itu menyebabkan dia dibawa ke hospital berhampiran.
Presiden kelab Tanawat Nitikanchana melawat Faiq bersama keluarganya sebagai tanda sokongan moral kepada pemain itu.
Tanawat turut memuat naik gambar mereka menerusi Instagramnya.
Ia minggu yang buruk buat Faiq yang dibuang padang dalam aksi Ratchaburi sebelum ini selepas mendapat kad kuning kedua.
Dia menyertai mereka pada musim panas lalu selepas meninggalkan Chonburi.
Walaupun dari keturunan diraja, ia bukan penghalang untuk Faiq menjadi pemain bola sepak profesional.
Ketika menyambung pelajaran di England, Faiq bermain dengan Akademi Southampton, Chelsea dan Leicester.
Dia turut mencuba nasib dengan Reading, Arsenal dan Stoke namun gagal.
Dia kemudiannya berkelana ke Portugal dan bermain dengan Maritimo sebelum kembali ke Asia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.