Tumpuan :
Sukan

Pelumba wanita jadi mangsa gangguan seksual kembali jalani latihan

Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pelumba wanita berbasikal bukit (MTB) yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh jurulatihnya sudah kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, hari ini.

Menurut Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, pelumba berkenaan bersama rakan sepasukannya kini menjalani latihan di bawah bimbingan Nor Alfizar Othman.

Datuk Amarjit juga menjelaskan jurulatih yang didakwa melakukan gangguan seksual itu kini digantung tugas sehingga siasatan selesai.

“Pelumba itu sudah tiba di Kuala Lumpur semalam dan memulakan latihan bersama skuad kebangsaan di Nilai, hari ini.

“Kami sudah bercakap dengan pelumba itu dan dia bertekad untuk membantu pasukan negara mempertahankan pingat emas (yang dimenangi di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu) pada Sukan SEA Kemboja (5 hingga 17 Mei).

“Pelumba itu juga diberikan kaunseling dan kebajikan serta keselamatannya kini menjadi keutamaan kami.

“Dia bersama rakan sepasukan yang lain akan berlatih di bawah bimbingan jurulatih wanita.

“Kami meminjam Alfizar dari MSN Kedah dan dia akan membantu mempersiapkan pasukan sehingga Sukan SEA nanti,” kata Datuk Amarjit ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail di Bukit Jalil, hari ini.

Loading...
Terkini