KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini memaklumkan akan menggunakan kepakaran Herman Terryn mulai Januari tahun depan selaku jurulatih pelapis skuad trek negara Januari depan.
Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pelantikan bekas ketua jurulatih pecut skuad trek Perancis itu bakal memperkuatkan lagi pasukan negara dalam melahirkan pelumba sensasi.
“Ia satu perbincangan agak baik, positif dan berita menggembirakan bagi kami ‘keluarga basikal’.
“Kami sudah melakukan temu duga ke atas Terryn minggu lalu dan sudah berbincang mengenai perkara ini,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Ujar Amarjit, secara prinsipnya dalam mesyuarat JKK semua sudah bersetuju melantik jurulatih berkenaan yang pernah melahirkan pemenang pingat emas pecut wanita di Kejohanan Dunia 2022, Mathilde Gros.
Katanya, jika semuanya berjalan lancar, beliau akan memulakan kerja sebagai jurulatih untuk pasukan trek bermula 2024.
“Jadi kehadirannya akan membawa satu lembaran baharu pada skuad berbasikal trek terutama pelumba pelapis kita.
“Pengalamannya bersama skuad berbasikal trek Perancis akan memajukan atlet pelapis kita,” kata Amarjit yang mengakui Terryn sendiri memohon untuk menyertai skuad berbasikal negara.
Tambah Amarjit, minat ditimbulkan Terryn mungkin disebabkan melihat Malaysia mempunyai pelumba berpotensi dan tertarik dengan kemampuan Datuk Azizulhasni Awang, pelumba sensasi bertubuh kecil.
Tahun depan juga bakal menyaksikan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal PKBM.