comscore
Tumpuan :
Sukan

Pelumba negara raih tiket wild card GP Malaysia, November depan

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif.

SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif mengesahkan penyertaan pelumba tempatan menerusi tiket wild card pada Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia dari 1 hingga 3 November depan.

Bagaimanapun, Shafriman berkata pelumba yang akan beraksi itu bukan daripada SIC, sebaliknya di bawah tajaan sebuah syarikat korporat tempatan.

“Saya difahamkan pelumba mereka sedang melakukan persiapan. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, syarikat itu akan mengumumkannya sendiri siapa yang akan raih tiket wild card itu.

“Saya tak ada maklumat lanjut berkenaan siapa (pelumba) yang akan mendapat peluang itu pada tahun ini.

“Tapi yang saya tahu setakat ini memang ada penyertaan (menerusi) wild card untuk pelumba negara.

“Saya difahamkan pengumuman mengenainya akan dilakukan pada minggu depan atau minggu satu lagi. Daripada SIC memang tak ada pelumba wild card untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kerjasama strategik antara SIC dan Tourism Selangor yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim serta CEO Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad, hari ini.

Tahun lalu, pelumba negara, Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar meraih dua tiket wild card dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team.

Sementara itu, mengulas penjualan tiket untuk GP Malaysia, Shafriman mengakui ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Sekarang antara 70 hinga 80 peratus tiket sudah terjual.

“Sesetengah tempat sudah habis terjual manakala tiket untuk Main Granstand, K1 dan F terjual dengan cepat,” katanya.

Jelas Shafriman, antara faktor penjualan tiket amat menggalakkan itu termasuklah inisiatif SIC bersama kerajaan pusat sebelum ini yang menawarkan tiket semurah RM49.90 untuk tiga hari perlumbaan.

“Kita sudah buat kajian harga tiket ini paling murah di dunia. Tiada ada orang bagi masuk acara antarabangsa dengan tiket bawah RM50.

“Kalau kita tukar kepada mata wang lain adalah kira-kira 10 pound sahaja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini