JOHOR BAHRU: Perak FC memikul tugas berat untuk mencipta keajaiban meraih keputusan positif bagi meredakan kemarahan penyokong mereka apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Sebahagian peminat Bos Gaurus dilihat tidak berpuas hati apabila perlawanan tertunda Liga Super itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dipindahkan ke Stadium Sultan Ibrahim.
Perlawanan malam ini adalah perlawanan tertunda selepas dua kali ditangguh atas faktor cuaca dan keadaan padang di Stadium Perak sebelum ini.
Skuad kendalian Yusri Che Lah akan hadir ke Stadium Sultan Ibrahim selaku rumah, namun kelebihan skuad berkualiti JDT dilihat ketika ini tampak bertambah apabila akan bermain di gelanggang keramat mereka walaupun turun sebagai pasukan pelawat.
Harimau Selatan yang masih belum tewas dan berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 37 mata memerlukan kemenangan untuk terus menjarakkan kedudukan kepada 11 mata daripada pencabar terdekat, Selangor.
Situasi itu cukup memberi gambaran bahawa pengendali JDT, Hector Bidoglio akan membariskan skuad terkuat mereka dan meneruskan pesta selepas kejayaan menewaskan juara Liga Korea Selatan, Ulsan HD 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di gelanggang sama, Selasa lalu.
Apa yang perlu dilakukan skuad Yusri ketika ini adalah memberi fokus sepenuhnya dalam memperkemaskan persembahan mereka terutama di bahagian pertahanan bagi sekurang-kurang meraih satu mata bermakna berdepan Harimau Selatan.
Statistik JDT kelihatan menggerunkan apabila jura bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu sudah meledak 48 gol dan hanya bolos enam kali dalam 13 perlawanan musim ini.
Perak yang akan bertemu anak buah Bidoglio buat kali pertama musim ini pula dilihat memiliki masalah di bahagian pertahanan apabila sudah bolos 20 gol, namun mereka juga berjaya meledak 20 jaringan.
“Banyak kelemahan yang kita bakal tempuhi (perbaiki) kerana lawan kita selepas ini adalah JDT, jadi apa pun kita perlu menilai kembali tahap keyakinan pemain terutamannya dalam kawalan bola.
“Perkara itu tidak boleh diteruskan terutama kita menentang pasukan yang lebih kuat seperti JDT. Jadi harus menilai kembali atau membuat persiapan yang cukup mantap untuk bertemu dengan pasukan (JDT) selepas ini,” kata Yusri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.