comscore
Tumpuan :
Sukan

Peluang Malaysia juarai badminton berpasukan campuran Asia cerah

Aksi beregu lelaki negara, Aaron Chia (depan) dan Soh Wooi Yik ketika bertemu dengan wakil Taiwan, Lee Jhe dan Huei pada badminton Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, bulan lalu.

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia yakin peluang Malaysia untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) yang dijadual berlangsung di Dubai dari 14 hingga 19 Februari ini.

Jelas Aaron, antara faktor utamanya adalah skuad kali ini membariskan pemain berwibawa seperti perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

“Saya rasa kali terakhir menang acara berpasukan campuran adalah pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, jadi kejayaan itu memberi motivasi tinggi kepada kami di BAMTC,” katanya selepas kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Malaysia diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan di Dubai dan diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah sendiri.

Aaron dalam pada itu berkata, dia sudah bersedia untuk digandingkan bersama pemain beregu lelaki yang lain pada kali ini iaitu Ong Yew Sin ataupun Teo Ee Yi.

“Saya rasa sentiasa bersedia kerana acara berpasukan siapa pun boleh turun bermain sebagai gandingan yang dipecahkan,” katanya.

Untuk rekod, Aaron sebelum ini pernah digandingkan bersama Ee Yi ketika membawa cabaran negara dalam Piala Thomas bagi edisi 2022 dan 2018.

Skuad badminton negara dijangka bertolak ke Dubai esok dan antara pemain lain yang tersenarai ialah Leong Jun Hao bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan lelaki selain Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita), Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Loading...
Terkini