comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Peluang karate dan sepak takraw tambah pingat kontinjen negara

S Prem Kumar turun beraksi dalam acara kumite individu lelaki bawah 67 kilogram.

HANGZHOU: Tumpuan pungutan pingat negara di penghujung temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini, tertumpu kepada tiga sukan iaitu karate, sepak takraw dan gimnastik berirama.

Kem karate negara yang mencuri perhatian dengan menghadiahkan Malaysia dua pingat Perak menerusi individu dan trio wanita, hari ini berpeluang menambah pingat di Gimnasium Pusat Sukan Linping, apabila pemenang gangsa edisi 2018 di Jakarta-Palembang, S Prem Kumar turun beraksi dalam acara kumite individu lelaki bawah 67 kilogram.

Tumpuan turut terarah kepada regu sepak takraw lelaki negara yang akan turun mempertahankan emas antara regu, yang dimenangi pada edisi lalu, namun berdepan halangan getir apabila bertemu musuh utama sukan sepak takraw, Thailand pada final di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua.

Regu lelaki takraw negara yang akan turun mempertahankan emas antara regu, yang dimenangi pada edisi lalu.

Pertembungan hari ini bukan sahaja memberi peluang kepada skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun menghadiahkan emas, malah menebus kekecewaan selepas tewas di tangan Thailand pada final acara berpasukan lelaki minggu lalu.

Sementara itu di Gimnasium Huanglong, atlet gimrama Ng Joe Ee yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia, berjaya menampilkan aksi memberangsangkan pada pusingan kelayakan untuk melangkah ke final individu all-around.

Gimnas negara, Ng Joe Ee akan bertanding pada pusingan akhir individu all-around hari ini.

Hari ini, skuad hoki wanita akan menutup kempen Sukan Asia dengan membuat perhitungan menentang Thailand, pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Gonshu Canal Sports Park, selain pasukan jiu-jitsu dan xiangqi akan terus mengibar cabaran Malaysia.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 selepas mengumpul lima emas, tujuh perak dan 17 gangsa.

Tuan rumah China unggul dengan kutipan 187-104-62 diikuti Jepun di tempat kedua (47-57-62) dan Korea Selatan ketiga (36-49-84). – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini