
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, percaya peluang adalah terbuka untuk semua pasangan muncul juara di Seluruh England, bulan depan termasuk anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Menurut Nova, ketiadaan dua bekas juara iaitu Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun serta gandingan China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong membuka peluang kepada gandingan lain melakar kejayaan pada kejohanan berprestij itu.
Watanabe-Higashino mengumumkan perpisahan mereka pada Ogos lepas manakala Si Wei-Ya Qiong pula menggantung raket mereka masing-masing pada November lalu dan bulan lepas.
Bagaimanapun, Nova menekankan bahawa kejayaan di kejohanan besar seperti Seluruh England bergantung kepada kemampuan Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking keempat dunia untuk mengawal tekanan dan emosi ketika di gelanggang.
“Saya selalu mengingatkan mereka bahawa tekanan dan jangkaan tinggi boleh menjejaskan permainan. Ini yang perlu mereka kawal jika mahu mencapai keputusan lebih baik di All England.
“Selama ini mereka banyak kalah di situ (emosi). Seluruh England tahun lalu pun macam itu, sudah mendahului tetapi kalah dan itu harus menjadi pengajaran buat mereka,” katanya.
Pada edisi tahun lalu, perjalanan Tang Jie-Ee Wei terhenti di pusingan kedua selepas dikejutkan gandingan Belanda Robin Tabeling-Selena Piek, 21-17, 19-21, 16-21.
Seluruh England akan berlangsung di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.
Seminggu sebelum itu, Tang Jie-Ee Wei akan beraksi di Masters Orleans di Perancis dari 4 hingga 9 Mac dengan misi untuk mengulangi pencapaian edisi 2023 yang menyaksikan mereka muncul juara di kejohanan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.