MILAN : Cabaran Tottenham Hotspur dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah masih belum berakhir disebalik kekalahan 0-1 kepada AC Milan awal pagi tadi.
Bagi pengendali, Antonio Conte, pemain-pemainnya perlu mempunyai keyakinan tinggi dan percaya mereka mampu untuk bangkit pada aksi timbal balik di London Mac nanti.
“Saya rasa pemain perlu lebih yakin, terutama di bahagian serangan. Kami perlu mencari semula rasa percaya itu yang sudah hilang, tapi ada kesungguhan dan keinginan,” kata Conte.
“Tugas saya ialah memberikan pemain rasa percaya kepada diri sendiri… kami perlu mencuba dan meningkat.”
Pada aksi di San Siro semalam, kecederaan dua pemain utama, Rodrigo Bentancur dana Yves Bissouma memaksa Conte membariskan pemain muda, iaitu Oliver Skipp dan Pape Matar.
Pengendali dari Itali itu berkata persembahan pasangan pemain muda itu memberikannya harapan untuk melakukannya tanpa Bentancur sepanjang baki musim ini manakala Bissouma perlukan pembedahan di bahagian pergelangan kaki.
“Untuk bermain seperti ini dalam Liga Juara-Juara dan dalam suasana San Siro… mereka bermain sangat baik, saya sangat gembira,” kata Conte.
“Persembahan seperti ini menjadikan saya lebih tenang untuk masa depan kerana anda boleh memikirkan kami boleh menamatkan musim dengan tiga pemain tengah.
“Saya tahu saya tidak boleh berharap 100 peratus kepada dua pemain ini.”
Walaupun menang, jurulatih Milan, Stefano Pioli masih memikirkan apa yang akan terjadi sekiranya Charles De Ketelaere dan Malick Thiaw tidak terlepas peluang keemasan untuk menambah jaringan bagi memberikan kelebihan secara agregat kepada mereka.
“Menang 2-0 adalah keputusan yang lebih baik, kerana kami akan melalui perlawanan yang sama sukarnya di London atau ia lebih sukar, tapi saya berpuas hati dengan persembahan pasukan,” kata Pioli. – AFP