ZURICH: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberi penghormatan kepada mendiang legenda Brazil, Pele yang meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.
Menerusi video yang disiarkan di Instagram miliknya, Infantino berkata berita itu memberi kesedihan dan mencipta kekosongan buat peminat bola sepak di seluruh dunia.
“Kita tidak pernah kehilangan dia. Dia selamanya bersama kita. Dia seorang insan yang hebat, memiliki hati yang besar dan berkarisma.
“Memenangi tiga Piala Dunia, senyuman yang indah, sentiasa baik dan sopan kepada semua orang. Begitulah cara kita mengingatinya dan bagaimana semua orang pada masa hadapan juga akan mengingatinya.
“Buat masa ini sudah tentu fikiran kita, simpati kita, cinta kita dan pelukan kita pergi kepada keluarganya, kawan-kawannya dan mereka yang telah berkongsi banyak emosi dengannya.
“Mereka mesti tahu bahawa semua orang di dunia ada bersama anda pada masa ini,” kata Infantino yang turut mengenang kembali semasa kecil menonton Pele berlakon bersama Sylvester Stallone dalam filem “Escape to Victory.”
Kerajaan Brazil mengisytiharkan tiga hari berkabung dan ikon sukan serta ketua-ketua negara tidak henti-henti merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pele.