HANGZHOU: Pelumba berbasikal trek para negara, Nur Suraiya Muhammad Zamri mempamerkan kayuhan bertenaga dalam perlumbaan akhir ujian masa 1,000 meter (m) untuk menghadiahkan pingat emas kedua negara di Sukan Para Asia Hangzhou 2022, di sini hari ini.
Bergandingan dengan jurumudi, Farina Shawati Mohd Adnan, Nur Suraiya menaamatkan saingan kategori wanita B dengan catatan masa 1 minit 13.434 saat (s).
Lebih manis pingat perak turut disambar gandingan senegara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nur Suhada Zainal pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Pusat Sukan Chun’ An Jieshou.
Nur Azlia Syafinaz pula merakam masa 1:14.083s untuk mengetepikan pelumba China, Wang Linhua yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa menerusi catatan 1:14.787s.
Sementara itu, acara 1,000m ujian masa lelaki B turut menyumbang pingat perak menerusi gandingan Mohd Khairul Hazwan Wahab dengan masa 1:05.740s.
Pingat emas menjadi milik pelumba China, Luo Fei dengan masa 1:04.321s dan gangsa diraih pelumba Iran, Heidarabadi Mohammad Dalir dengan masa 1:06.343s.
Sementara itu jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli terus membuktikan kehebatannya selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual).
Pada aksi berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong, atlet berusia 33 tahun itu ternyata unggul, selepas melakukan balingan sejauh 16.65 meter (m) pada percubaan ketiganya, tanpa mampu dicabar tiga wakil lain.
Atlet kelahiran Selangor itu muncul juara menewaskan rakan senegara Mohamad Aliff Mohamad Awi, yang merangkul perak dengan catatan 13.75m, manakala atlet Thailand Sanepoot Boonkong memenangi gangsa (13.67m).
Beliau sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Para Asia dimenangi pada dua edisi sebelum ini iaitu 2014 Incheon, Korea Selatan dan 2018 Jakarta-Palembang, Indonesia.
“Saya cukup berpuas hati dengan kejayaan hari ini dan kejayaan ini saya hadiahkan buat seluruh rakyat Malaysia.
“Rasa bangga dapat membuat hatrik pada tiga temasya berturut-turut,” katanya kepada Bernama.
Kejayaan pemenang pingat emas Paralimpik 2016 itu dalam masa sama, menyumbang pingat emas ketiga negara, selepas pelumba berbasikal trek para negara Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (pengemudi), menghadiahkan emas kedua di Velodrom Pusat Sukan Chun’ An Jieshou, sebentar tadi. — BERNAMA