Oleh Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah muncul satu-satunya wakil negara yang mara ke separuh akhir Terbuka Jerman selepas menewaskan pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, awal pagi tadi.
Bagaimanapun kejayaan itu tidak hadir dengan mudah apabila Pearly-Thinaah dipaksa beraksi lebih sejam sehingga ke set penentuan.
Pilihan ketiga yang juga pasangan di ranking keenam dunia itu menang set pertama 21-17, namun tewas set kedua 18-21.
Di set penentuan, jurang mata yang jauh ditinggalkan Pearly-Thinaah memberi tambahan motivasi untuk menoktahkan kemenangan 21-11.
Ini kejayaan kedua berturut-turut beregu wanita nombor satu negara itu ke atas Matsumoto-Nagahara dalam dua pertemuan setakat ini.
Di separuh akhir hari ini, Pearly-Thinaah dijadual menentang satu lagi pasangan Jepun yang juga pilihan utama, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Matsuyama-Shida mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan rakan senegara, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 27-25, 21-15.
Terdahulu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kandas di suku akhir selepas tunduk kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.
Pujian tetap wajar diberikan kepada beregu campuran di ranking ke-43 dunia itu apabila mempamerkan aksi melawan sebelum tewas 20-22, 14-21.