Tumpuan :
Sukan

Pearly-Thinaah terlepas gelaran juara Masters Indonesia

Aksi Pearly Tan-M.Thinaah di Masters Indonesia 2025. FOTO IHSAN BAM

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah untuk merangkul gelaran juara di Masters Indonesia tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeon di pentas final, hari ini.

Kekalahan 12-21, 21-17, 18-21 itu adalah kekalahan kedua berturut-turut pasangan ketujuh dunia berkenaan kepada Hee Yong-Hye Jeon yang baru bergandingan tahun lalu.

Pilihan kelima kejohanan itu sebelum ini menundukkan Pearly-Thinaah di separuh akhir Terbuka India, minggu lalu.

Keputusan turut menyaksikan Pearly-Thinaah terlepas habuan besar AS$37,525 (RM164,284) yang tersedia untuk pemenang dan terpaksa berpuas hati membawa pulang AS$18,050 (RM79,022).

Turun sebagai pilihan kedua di Istora Senayan, Jakarta, perlawanan tampak seimbang pada awal permainan di set pertama namun kesilapan tidak sepatutnya menyaksikan pasangan negara ketinggalan jauh 7-11 pada satu ketika sebelum tewas di mata akhir 18.

Permainan lebih kemas ditampilkan Pearly-Thinaah pada set kedua apabila berjaya memperoleh mata ke-11 terlebih dulu.

Begitupun ketika rehat, timbul kebimbangan apabila kedua-dua mereka tampak mengalami kesakitan di bahagian bahu dan paha.

Ketinggalan agak jauh pada satu ketika, Hee Yong-Hye Jeon begitupun cuba bangkit sebelum permainan ditamatkan dengan keputusan 21-17.

Set ketiga tampak seimbang di awal permainan tetapi pasangan Korea Selatan jelas lebih bersemangat sebelum permainan berakhir 21-18 dalam tempoh 74 minit dan mendapat sorakan gemuruh penonton.

Sebagai rekod, kali terakhir Pearly-Thinaah meraih gelaran juara adalah di Terbuka Hong Kong pada September, tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini