Tumpuan :
Sukan

Pearly-Thinaah mara pusingan kedua Masters Jepun

FOTO: BWF

Oleh: Hazreen Mubarak

KUALA LUMPUR: Malaysia membuka langkah kanan di kejohanan Badminton Masters Jepun 2023 menyaksikan dua daripada tiga wakil negara yang beraksi di pusingan pertama, tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bermula dengan saingan beregu lelaki, ia menyaksikan pertembungan dua wakil negara pada aksi yang berlangsung di Kumamoto, Jepun, petang tadi.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menepati ramalan selaku pilihan ke-8 apabila menang straight set ke atas gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Dengan catatan 21-16 dan 21-17, Yew Sin-Ee Yi turut mengimbangi rekod pertembungan kepada satu sama sekaligus menetapkan pertemuan dengan pemenang di antara Chen Bo-Yang Liu Yi dari China yang akan berdepan wakil Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Worrapol Thongsa-Nga, esok.

Dalam satu lagi aksi, gandingan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan dan M.Thinaah turut mara ke pusingan kedua.

Turun berdepan Lee Yu Lim dan Shin Seung Chan, duo Malaysia ranking 13 dunia ini bagaimanapun diberi tentangan sengit tiga set oleh lawan di posisi 16 dunia.

Menang set pembukaan 21-14, Pearly dan Thinaah tewas set kedua 20-22 sebelum bangkit memutlakkan kemenangan penuh 21-18 dalam tempoh keseluruhan lebih satu jam itu.

Lawan menanti mereka bakal ditentukan esok; dalam satu lagi aksi membabitkan Francesca Corbett-Allison Lee dari Amerika Syarikat dengan Rui Hirokami dan Yuna Kato dari Jepun.

Sementara itu, perjuangan Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien berakhir di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil tuan rumah.

Baru kali pertama berdepan Rena Miyaura dan Ayako Sakuramoto, pasangan negara akur tewas straight set kepada duo nombor 14 dunia itu.

Ia menyaksikan, Vivian dan Chiew Sien kalah dengan catatan 17-21 dan 11-21 dalam masa 40 minit.

Loading...
Terkini