Tumpuan :
Sukan

Pearly-Thinaah mara ke suku akhir

Pearly Tan memeluk M Thinaah selepas berjaya menundukkan juara dunia dua kali dari Jepun pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark. Foto : BWF / Twitter

KUALA LUMPUR: Beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta kejutan apabila mara ke peringkat suku akhir Kejuaraan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark.

Lebih manis apabila Pearly dan Thinaah mara selepas menewaskan juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-14, 22-20.

Pada kejohanan kali ini, Pearly-Thinaah diletakkan selaku pilihan kesebelas manakala Matumoto dan Nagahara pilihan keempat.

Gandingan negara itu akan bertemu beregu China, Zheng Shuxian-Zheng Yu bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Kejayaan itu membolehkan Pearly-Thinaah muncul beregu wanita pertama negara layak ke suku akhir Kejuaraan Dunia selepas kali terakhir dilakukan gandingan Amelia Anscelly-Soong Fie Cho pada tahun 2015.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan beregu Perancis untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark. Foto Badminton Photo

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang membuat penampilan pertama sebagai gandingan turut cemerlang apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-17 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 20-22, 21-19, 21-12.

Pada suku akhir mereka akan menentang pemenang perlawanan antara beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dengan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

“Perjuangan kami masih belum berakhir, masih ada perlawanan lagi esok. Apa yang penting sekarang adalah kami buat persiapan terbaik untuk menghadapi perlawanan esok,” kata Ee Wei selepas tamat perlawanan itu.

 

Loading...
Terkini