Tumpuan :
Sukan

Pearly-Thinaah ke suku akhir Masters Orleans

FOTO: Ihsan BAM

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir Masters Orleans, malam tadi.

Pasangan nombor enam dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 22-20, 11-21, 21-14 dalam tempoh 68 minit pada aksi pusingan kedua di Palais Des Sports, Perancis.

Ini kali ketiga berturut-turut Pearly-Thinaah mara ke kelompok lapan terbaik musim ini selepas mara ke separuh akhir Terbuka India serta muncul naib juara Masters Indonesia, Januari lalu.

Mereka dijangka berdepan satu lagi cabaran getir hari ini apabila bakal menentang pasangan meningkat naik dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam usaha merebut tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, satu lagi beregu wanita negara, Goh Pei Kee-Teoh Mei Xing turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose 21-18, 21-15 dalam aksi pusingan kedua.

Mereka akan berdepan pilihan keenam kejohanan dari Korea, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong pada aksi lapan terakhir.

Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-18, 21-11 dan akan membuat perhitungan dengan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini