KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menghampiri gelaran keempat dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas mengesahkan slot ke final Masters Indonesia 2025, sebentar tadi.
Beregu ranking ketujuh dunia yang juga pilihan kedua itu menyingkirkan gandingan Korea Selatan yang menghuni ranking ke-146 dunia, Lee Yeon Woo-Lee Yu Lim 21-19, 21-16 dalam tempoh 52 minit pada aksi separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta.
Menanti mereka di final adalah satu lagi gandingan Korea Selatan yang juga pilihan kelima, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeong yang menewaskan pasangan China, Jia Yifan-Zhang Shu Xian 21-17, 22-20.
Ini adalah final pertama buat gandingan negara pada tahun ini dengan mereka berpeluang mengutip hadiah kemenangan RM164,705 selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia sebelum mara sehingga separuh akhir Terbuka India.
Set pertama menyaksikan gandingan negara bermula dengan baik apabila mengutip empat mata pertama berturut-turut sebelum dihentikan lawan namun mereka berkelebihan 9-3 sebelum menuju rehat set pertama dengan keputusan 11-4.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah bergelut untuk mengekalkan rentak selepas itu apabila membenarkan lawan mengejar sehingga 14-13 dan saingan bertambah sengit apabila kedua-dua gandingan terikat 18-18.
Gandingan Korea Selatan itu akhirnya mendahului buat kali pertama 19-18 namun Pearly-Thinaah mengutip tiga mata berturut-turut untuk memenangi set pertama 21-19 dalam tempoh 25 minit.
Set kedua lebih rancak apabila kedua-dua gandingan saling bertukar mata namun Pearly-Thinaah yang pada satu ketika ketinggalan 5-9 berjaya bangkit sekali gus mendahului 11-9.
Situasi sama disaksikan selepas itu dengan kedua-dua gandingan tidak membenarkan jurang besar antara mereka namun Pearly-Thinaah berjaya mendahului 18-15 dan hanya memerlukan tiga mata untuk melangkah ke final.
Kelebihan itu tidak disia-siakan gandingan negara untuk menoktahkan kemenangan 21-16 secara straight set dalam tempoh 52 minit.
Sebagai rekod, tiga kejuaraan yang dimenangi Pearly-Thinaah sebelum ini adalah Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022 dan Terbuka Hong Kong 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.