Tumpuan :
Sukan

Pearly Tan dan M Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong, Goh Sce Wei dan Nur Izzuddin terkandas 

Pearly Tan dan M Thinaah ke separuh akhir  bangkit daripada kekalahan set pertama tewaskan Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai. – FOTO: Persatuan Badminton Malaysia/ Facebook

HONG KONG: Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah terus menampilkan aksi konsisten untuk melangkah ke separuh akhir Badminton Terbuka Hong Kong.

Pada suku akhir pagi tadi Pearly dan Thinaah yang diletakkan selaku pilihan ke-6 mengejutkan pilihan ke-4 dari Thailand Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai dari Thailand menerusi permainan sengit tiga set.

Semangat melawan Pearly dan Thinaah yang berada pada ranking ke-10 dunia, dibuktikan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama 15 -21.

Kebangkitan pasangan negara jelas sukar dibendung lawan apabila mereka menamatkan set kedua 21-14.

Set penentuan lebih mendebarkan menyaksikan kedua-dua gandingan saling mengejar mata.

Ketika Pearly dan Thinaah terus  mengekalkan fokus , Jongkolphan dan Prajongjai beregu ke-9 dunia pula, mula terasa tekanan.

Selepas pertarungan berlanjutan 1 jam dan 6 minit, pasangan negara mengesahkan tempat ke separuh akhir, mengakhiri set penentuan 21-19.

Pusingan separuh akhir esok, Pearly dan Thinaah berdepan satu lagi beregu pilihan dari Thailand, pilihan ke-5, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard.

Goh Sze Wei dan Nur Izzuddin beri tentangan sengit sebelum tewas kepada Juara Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi Lin. – FOTO: Persatuan Badminton Malaysia/ Facebook

Bagaimanapun beregu lelaki Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang turut beraksi di gelanggang satu sejurus kemudian, gagal mengiringi kemaraan Pearly dan Thinaah.

Mereka akur kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2020 dari Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi Lin, juga pilihan ke-8 kejohanan.

Sze Fei dan Izzuddin tumpas  19-21, 18-21 pada satu lagi aksi suku selepas bertarung 45 minit.

Lewat petang nanti, 3 lagi wakil negara beraksi pada suku akhir membabitkan acara perseorangan lelaki  Ng Tze Yong, perseorangan wanita Goh Jin Wei serta beregu campuran Goh Soon Huat dan Shevon Lai.

Loading...
Terkini