Tumpuan :
Sukan

Pearly Tan catat rekod dunia Guinness, pukulan ‘smash’ terpantas 438 km/j

KUALA LUMPUR: Pemain beregu badminton negara, Pearly Tan mencipta sensasi apabila pukulan ‘smash’ dilakukannya diiktiraf sebagai terpantas di dunia bagi kategori wanita oleh Guinness World Records.

Jenama peralatan sukan terkemuka, Yonex dalam satu kenyataan berkata pukulan smash Pearly merekodkan kelajuan 438 kilometer sejam (km/j), 65.5 km/j lebih laju daripada sebuah kereta Formula Satu (F1).

Katanya, pemain berusia berusia 23 tahun itu melakukan rekod berkenaan di Gimnasium Yonex Tokyo Factory pada 14 April lalu dengan menggunakan raket model Nanoflare 1000 Z.

“Impak smash yang dilakukan telah dirakam menggunakan kamera berkelajuan tinggi. Kelajuan bulu tangkis selepas impak smash kemudian dikira berdasarkan rakaman fotografi.

“Jarak pergerakan dan masa yang diambil oleh bulu tangkis dikira antara dua koordinat kelajuan berdasarkan pengukuran jarak, masa, dan kelajuan,” katanya.

Selain Pearly, pemain badminton lelaki India, Smash Rankireddy turut berjaya memecah rekod dunia untuk hit badminton terpantas apabila mencatatkan kelajuan 565 km/j memecahkan rekod sebelum ini yang dicatat pada Mei 2013 dengan kelajuan 493 km/j.

“Kedua-dua rekod ini menunjukkan bahawa sukan badminton adalah sukan yang jauh lebih pantas daripada sukan-sukan lain seperti bola sepak atau perlumbaan kereta Formula Satu.

“Rekod dari kedua pemain antarabangsa itu telah dicatatkan pada 14 April lalu dan telah disahkan oleh panel rasmi Rekod Dunia Guinness berdasarkan hasil pengukuran kelajuan yang dicatatkan mereka berdua.” menurut kenyataan tersebut.

Loading...
Terkini