Tumpuan :
Sukan

PDRM pasang ‘perangkap’ berbeza hadapi Selangor

Penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil. – FOTO MFL

KUALA LUMPUR: Aksi final kedua Piala Cabaran bakal menawarkan persaingan berbeza apabila PDRM FC dijangka menampilkan pendekatan berbeza untuk memerangkap Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

PDRM yang juga juara bertahan akan turun bermati-matian selepas tewas 2-3 dalam aksi pertama di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil menjelaskan pasukannya tetap mengintai peluang untuk mempertahankan kejuaraan meskipun sedar perlu berdepan tugas sukar untuk mengatasi Selangor.

Katanya, semua pemain PDRM ketika ini bebas dari kecederaan, namun pihaknya masih memantau tahap kecederaan dan kecergasan kapten yang juga penyerang utama mereka, Ifedayo Olusegun.

“Kita akan lihat dalam latihan petang ini sama ada dia (Olusegun) cergas sepenuhnya untuk perlawanan esok. Sudah tentu kalau diberi peluang, kami nak pertahankan kejuaraan.

“Selangor mendahului 3-2, tekanan kepada kami sebab kami perlukan satu gol untuk mengimbangi perlawanan. Saya percaya pemain PDRM matang untuk hadapi situasi ini. Apa yang kami rancang, kami ada buat sedikit perubahan dan berharap perancangan itu menjadi.

“Semua tahu bahawa dalam bola sepak ini ada saja boleh berlaku, kita akan beraksi 90 minit dan mungkin selepas itu perlawanan boleh berlanjutan hingga 120 minit (masa tambahan).

“Apa yang kita tekankan kepada pemain adalah hanya bagi yang terbaik dan kami pun ada perancangan sendiri. Jika perlawanan berlarutan hingga ke penentuan penaltil, kita bersedia,” katanya pada sidang media di Stadium MBPJ, hari ini.

Untuk rekod, PDRM muncul juara Piala Cabaran pada edisi 2023 selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini